comscore
Tumpuan :
Mahkamah

CEO GISBH, 21 individu lain akan fail representasi ke Jabatan Peguam Negara – Peguam

Oleh: Fareez Azman

SELAYANG: Ketua Pegawai Eksekutif Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) Datuk Nasiruddin Mohd Ali bersama 21 tertuduh yang didakwa di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen di sini akan memfailkan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Menurut Peguam yang mewakili mereka, Datuk Rosli Kamaruddin, bagaimanapun beliau dan pasukan pembelaan masih menunggu arahan daripada anak guamnya itu.

“Kami akan menunggu arahan seterusnya daripada anak guam untuk bentuk representasi yang akan difailkan. Sehingga kini mereka hanya didakwa atas satu pertuduhan sahaja iaitu terlibat dengan jenayah terancang.

“Kita tidak tahu jika masih ada siasatan tambahan dan arahan untuk mendakwa lain selepas ini,” katanya.

Jelasnya, tiada had bagi pihaknya untuk menghantar representasi untuk dipertimbangkan semula tuduhan terhadap kesemua anak guamnya itu.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada bidang kuasa Jabatan Peguam Negara.

Mengulas mengenai pertuduhan hari ini, jelas Rosli lagi, pihaknya masih menanti sama ada terdapat pertuduhan lain dikenakan terhadap anak guamnya.

“Sebelum ini Ketua Polis Negara (KPN) menyatakan bahawa mereka sedang menyiasat mengikut sepuluh akta bermakna ada 10 skop siasatan, namun hari ini kita dapati hanya ada satu pertuduhan.

“Kita juga belum menerima maklumat sama ada kesemua 22 orang tertuduh akan didakwa di bawah Akta Seksual Kanak Kanak. Kami harap tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di mahkamah di sini pagi tadi.

Pasukan pembelaan terhadap kesemua tertuduh diwakili Rosli, bersama Zaim Rosli, Dorina Abdullah, Boestamam Ahmad dan M.Hafiz Zainal Abidin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini