comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Cederakan bekas isteri: Hafidz Roshdi fail representasi mohon gugur tuduhan

Pelakon, Hafidz Roshdi, hadir ke mahkamah bagi keputusan representasi kes pukul bekas isterinya di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor. – Foto: NSTP

KUALA KUBU BHARU: Mahkamah Majistret di sini hari ini, menetapkan dua hari bermula 6 Februari tahun depan untuk perbicaraan kes pelakon Hafidz Roshdi yang dituduh mencederakan bekas isterinya Mac lepas.

Hakim, Siti Fatimah Talib, yang bertindak sebagai Majistret, menetapkan tarikh itu ketika sebutan kes hari ini yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Asmaa’ Zamri dan peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader, mewakili Hafidz Roshdi atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 29.

“Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pada 6 dan 7 Februari tahun depan. Prosiding perbicaraan itu akan bermula pada 11 pagi,” kata Siti Fatimah.

Terdahulu, Asmaa’ memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan telah memfailkan representasi dan telah diserahkan kepada pendakwaan.

Akberdin mengesahkan, pihaknya telah memfailkan representasi untuk menggugurkan pertuduhan dihadapi anak guamnya pada 28 September lepas.

Pada 13 Mac lepas, Hafidz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya (ketika itu) Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, dengan menumbuk pipi kiri wanita itu sebanyak tiga kali sehingga luka, lebam dan bengkak.

Pelakon drama itu dituduh melakukan perbuatan berkenaan berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya di sini pada 3.22 pagi, 2 Mac lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Pada 27 Julai lepas, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam mengesahkan pasangan itu bercerai talak satu. – BERNAMA

Loading...
Terkini