Tumpuan :
Mahkamah

Cederakan anak tiri guna ‘dumbbell’, bapa tiri didakwa

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang bapa tiri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan anak tirinya menggunakan alat senaman ‘dumbbell’, dua minggu lalu.

Bagaimanapun, pekerja kedai dobi berusia 42 tahun itu mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap anak lelaki tirinya berusia 17 tahun menggunakan alat senaman dumbel.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah unit kondominium di Dang Wangi, di sini pada jam 10 malam, 9 November lalu.

Oleh itu dia dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 326A kanun sama yang jika disabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan ia kesalahan tidak boleh dijamin.

“Namun jika mahkamah mahu membenarkan jaminan, pendakwaan mencadangkan RM18,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak mendekati mangsa atau saksi-saksi,” katanya.

Peguam Minnie Chew yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan berikutan anak guam hanya mempunyai pendapatan RM2,000 serta tanggungan isteri tidak bekerja dan dua anak masih belajar.

Mendengar permohonan kedua-dua pihak, Siti Shakirah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan syarat seperti dipohon pendakwaan serta menetapkan sebutan semula kes pada 12 Disember ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini