Tumpuan :
Mahkamah

Cabul remaja 14 tahun, lelaki dipenjara 5 tahun, 2 sebatan

Pekerja kilang yang baru menimang cahaya mata 2 minggu mengaku salah kerana tuduhan amang seksual dipenjara lima tahun dan dua sebatan. – Foto NSTP

MUAR: Pekerja kilang yang baru dua minggu menimang cahaya mata pertama didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan dalam sebuah kedai perkasasan rumah di Batu Pahat, Sabtu lalu.

Tertuduh, Ng Wei Sheng, 29, bagaimanapun mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca oleh jurubahasa sebelum Hakim Sayani Mohd Nor menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, pekerja kilang itu didakwa melakukan perbuatan itu terhadap remaja yang juga pelajar berusia 14 tahun dalam sebuah kedai perkakasan rumah di Taman Banang Jaya, Batu Pahat, antara 4 hingga 4.10 petang Sabtu lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017, penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa bersama rakan berkunjung ke premis itu sebelum menaiki tingkat atas untuk memilih barangan.

Secara kebetulan, tertuduh juga berada di tingkat atas dan mangsa yang sedang memilih barangan, disentuh oleh lelaki itu.

Dalam keadaan ketakutan, mangsa melarikan diri bertemu rakan di tingkat bawah lalu menceritakan kejadian sebenar.

Selepas kejadian itu, rakannya menghubungi ahli keluarga mangsa yang tinggal berdekatan dengan perbuatan itu turut dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV).

Susulan kejadian itu, mangsa ditemani ahli keluarga membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, pada hari sama.

Bertindak atas maklumat itu, polis menjalankan siasatan dan menahan tertuduh juga pada hari sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selain menjatuhkan hukuman penjara dan sebatan, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan polis setahun sebaik selesai hukuman.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini