comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Buruh mengaku tidak bersalah pecah rumah, cabul kehormatan jiran

 


KOTA BHARU: Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan iaitu melakukan pecah rumah dan mencabul kehormatan seorang wanita yang juga jirannya, 29 Jun lalu.

Pertuduhan terhadap Mohd Fadhli Mukhtar, 52, dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Fadhli didakwa melakukan pecah rumah untuk menyerang seorang wanita berusia 27 tahun secara seksual.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 455 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan boleh didenda atau disebat.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan mangsa yang sama.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dipenjara sehingga 10 atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Kedua-dua pertuduhan itu dilakukan di sebuah rumah tanpa nombor di Salor di sini, lebih kurang 7 pagi, pada 29 Jun 2024.Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri tidak mencadangkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana kesalahan itu serius.

Tertuduh merayu supaya mahkamah membenarkan jaminan terhadapnya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dengan syarat lelaki itu tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan.

Mahkamah juga menetapkan 4 Ogos depan sebagai sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini