KOTA BHARU: Seorang buruh kasar yang tular melakukan aksi ‘wheelie’ bersama isterinya pada 1 Syawal lalu, mengaku bersalah melakukan aksi itu di Mahkamah Majistret Kota Bharu.
Tertuduh berusia 17 tahun membuat pengakuan terbabit selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret, Muhammad Fitri Mokhtar.
Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 22 April lalu jam 12 tengahari di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu telah menunggang motosikal jenis Honda dengan cara mengangkat tayar hadapan di mana aksi tersebut berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
Jika sabit kesalahan, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nursyafiqah Mohamad, manakala remaja tersebut diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Kelantan, Nor Zaimah Mohamed.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM900 dengan seorang penjamin.