comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Buruh didakwa rogol anak rakan berusia 14 tahun

Buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol anak rakannya yang berusia 14 tahun. -Foto: NSTP

IPOH: Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol anak rakannya yang berusia 14 tahun.

Bagaimanapun, tertuduh, Wan Muhamaad Sofie Wan Supian, 26, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan rogol terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun yang juga anak kepada rakannya di sebuah rumah di Kampung Sungai Timah, Mukim Bandar, dalam daerah Perak Tengah, pada jam 10 pagi, 2 Julai lalu.

Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebat.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

“Bagaimanapun, jika mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin, saya mencadangkan RM30,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya mahkamah memberikan jumlah jaminan minimum atas alasan dia hanya bekerja sebagai pengangkat baja dengan pendapatan RM50 sehari selain perlu menanggung lima adiknya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis sekali setiap dua bulan.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan 25 November depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini