comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Buruh didakwa merompak hingga mangsa kerugian RM100,000

Seorang buruh, Mohd Zafrizar Ibrahim, 48, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merompak secara berkumpulan dan bersenjata sehingga mangsa kerugian RM100,000, pada 12 Januari lalu di Lorong Sekolah Kebangsaan Bunut Payong. FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merompak secara berkumpulan dan bersenjata sehingga mangsa kerugian RM100,000, 12 Januari lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Zafrizar Ibrahim, 48, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama yang masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan dan bersenjata terhadap seorang wanita, Hasni Mat Suji, 56, dengan merampas dua utas rantai tangan dan seutas rantai leher emas anggaran kerugian RM100,000.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lot 439, Lorong Sekolah Kebangsaan Bunut Payong di sini, antara 3 hingga 4 pagi, pada 12 Januari lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 24 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini