comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Buruh didakwa edar 528kg syabu

Oleh: Kumaran Rajamoney

KANGAR: Seorang buruh kampung dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 528 kilogram, awal bulan ini.

Mohd Fazli Aziz, 35 tahun, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.

Mengikut kertas pertuduhan, Fazli didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira jam 4 pagi, 10 Januari lepas di kawasan semak dalam Hutan Simpan Mata Ayer Perlis Utara, Padang Besar.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan dibawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum dibawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam prosiding itu, Nurshahida tidak menawarkan jaminan dan menetapkan 22 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 10 Januari lepas, polis Perlis menumpaskan sindiket penyeludupan dadah selepas merampas 528 kilogram syabu bernilai RM19 juta yang ditemukan ‘transit’ dalam kawasan Hutan Simpan Persekutuan negeri itu.

Syabu terbabit ditemui dalam 480 bungkusan teh Cina yang diisi dalam 20 guni berjahit, yang diletakkan di dalam troli besi dan ditutupi dengan daun-daun kering.

Lokasi rahsia kira-kira 3 kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand itu terbongkar hasil soal siasat seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun, yang kemudiannya ditahan bagi membantu siasatan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini