Tumpuan :
Mahkamah

Buruh didakwa cederakan jiran dengan sabit

Sallehuddin Shafie @ Safie mengaku tidak bersalah cederakan jiran dengan menggunakan sebilah sabit, pada Jun 2021. – FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan mencederakan seorang lelaki yang juga jirannya dengan menggunakan sebilah sabit, pada Jun 2021.

Tertuduh, Sallehuddin Shafie @ Safie, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Ariffin Hussin, 53, dengan menggunakan sebilah sabit di sebuah rumah di Kampung Chekok Panji di sini, jam 10 malam, pada 2 Jun 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli, manakala tetuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Kamarul Hasyimie tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana tertuduh adalah jiran kepada mangsa dan memohon tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini