Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Buruh binaan didakwa bunuh peniaga berkait harga cempedak goreng mahal

 

TAIPING: Seorang buruh binaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini, atas tuduhan membunuh seorang peniaga ketika pergaduhan berkaitan harga cempedak goreng dalam kejadian di Assam Kumbang dekat sini, dua minggu lalu.

Tertuduh yang juga seorang buruh binaan, S. Jhon Piter, 49, hanya mengangguk tanda faham sejurus pertuduhan membunuh dikemukakan terhadapnya dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret R Prabakaran, namun tiada pengakuan direkodkan.

Tertuduh, S. Jhon Piter dibawa ke Mahkamah Majistret pagi tadi.- Foto: NSTP

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Chor Kok Kuan, 59, di kaki lima gerai makanan Pasar Pokok Assam, Taiping antara jam 3.30 hingga 4.15 petang pada 12 September lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun, namun maksimum 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan, sekiranya tidak dihukum mati.

Kertas pertuduhan dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Khoo Thean Heng, manakala tertuduh belum diwakili peguam.

Majistret kemudian menetapkan 20 November depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat mangsa dan izin dakwa kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.

Pada 5 September lalu, media melaporkan seorang peniaga pisang dan cempedak goreng meninggal dunia selepas diserang pelanggan susulan pertengkaran yang dikatakan tercetus berkaitan harga makanan itu yang didakwa mahal.

|ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini