TAWAU: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa Allahyarham Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, ditemukan dalam keadaan sudah tidak sedarkan diri, terbaring di atas tilam.
Guru dan juga warden Asrama Kolej Vokasional Lahad Datu, Nuhrullah Aminuddin, 30, berkata, Nazmie Aizzat tidak memberi sebarang reaksi sebelum diberi bantuan pernafasan (CPR).
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 pagi pada 22 Mac, apabila dia dimaklumkan oleh tertuduh kedua dalam kes itu bahawa terdapat pelajar sedang mengalami sawan sebelum bergegas ke asrama pelajar lelaki iaitu di tingkat tiga di bilik 7 Belian.
Kenyataan itu dimaklumkan oleh Nuhrullah ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif pada hari ketiga perbicaraan kes membabitkan 13 remaja yang didakwa membunuh rakan kolej mereka antara jam 9 malam pada 21 Mac sehingga jam 7.35 pagi pada 22 Mac lalu.
Dia berkata sebaik sampai sahaja di bilik tersebut, dia melihat Mohamad Nazmie Aizzat terbaring di atas tilam dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Nur Nisla : Merujuk pernyataan saksi kamu, cikgu lihat si mati (mangsa) baring atas tilam tidak sedarkan diri?
Nuhrullah : Betul
Nur Nisla : Kemudian cikgu periksa hidung, nafas, nadi dan dada si mati. Boleh jelaskan pemeriksaan bagaimana?
Nuhrullah : Masa kejadian itu, saya lihat si mati atas tilam, kemudian bila saya tengok, saya cek hidung guna jari, tidak ada nafas, kemudian saya cek nadi di tangan kanan dan kiri, memang tidak ada denyut nadi dan dada tidak bergerak.
Dia turut menjelaskan terdapat kesan luka pada bibir mangsa seperti yang ditunjukkan melalui album pada gambar nombor 17.
Pada masa sama katanya, dia turut memberikan berikan bantuan pernafasan dengan menekan dada selama 15 hingga 25 minit kepada mangsa mengikut ritma bunyi “bib” pada telefon bimbit seperti yang diarahkan oleh pihak hospital selepas membuat panggilan kecemasan berhubung kejadian itu.
Sementara itu, Pengarah Kolej Vokasional Lahad Datu, Ahmad Fakhrurazi Hamzah, pada sesi pemeriksaan balas tidak bersetuju dengan soalan peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin bahawa beliau tidak mempunyai pengetahuan asas berkaitan CPR dan memaklumkan pernah mengikut kursus itu namun tidak dapat mengingati tarikh tepat ketika menghadirinya.
Ziarie : Saya katakan kepada kamu, bahawa kamu tidak mempunyai sebarang pengetahuan untuk melakukan CPR kerana kamu telah mengarahkan Cikgu Nurullah menghubungi hospital untuk membantu kamu melakukan CPR, setuju?
Ahmad Fakhrurazi : Tidak setuju.
Pada 13 Ogos lalu, 13 pelajar berusia antara 16 hingga 19 tahun dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini, atas pertuduhan membunuh Mohamad Nazmie di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Lapan daripada 13 remaja itu termasuk tertuduh diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Ram Singh dan Chen Wen Jye, sementara lima lagi masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika termasuk peguam lantikan, Vivien Thien, Jhasseny P Kang, Kusni Ambotuwo dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.
Selain Nur Nisla, pendakwaan turut diwakili Ng Juhn Tao dan Nur Batrisyia Mohd Khusri.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.