TAWAU: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu punca kematian Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, adalah disebabkan kecederaan dada dan tisu lembut akibat trauma tumpul (Chest and Soft Tissue Injuries Due to Blunt Force Trauma).
Perkara itu disahkan saksi pendakwaan kelima, Dr. Dzureena Abdul Mutalib, 39, Pakar Patologi Forensik di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tawau yang memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol, pada perbicaraan hari keempat, hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 107 kesan kecederaan dikesan pada hampir keseluruhan jasad mangsa semasa menjalankan bedah siasat ke atas mangsa di Unit Forensik Hospital Lahad Datu bermula pada jam 10.20 pagi pada 23 Mac lalu.
Menurutnya, turut hadir semasa proses bedah siasat itu ialah Inspektor Sophia Anak Thomas Kasau, jurufoto polis Koperal Aimah Mohd Abdullah dan pembantunya, Dr. Soon Siew Han.
“Si mati telah dikenal pasti oleh ibunya sebelum saya menjalankan pemeriksaan bedah siasat luaran dan dalaman manakala gambar-gambar telah diambil oleh Koperal Aimah semasa proses bedah siasat dijalankan.
“Berdasarkan penemuan pemeriksaan bedah siasat, punca kematian disimpulkan sebagai kecederaan dada dan tisu lembut akibat trauma tumpul,” jelasnya.
Dr Dzureena yang mempunyai pengalaman menjalankan secara purata kira-kira 80 pemeriksaan bedah siasat dalam tempoh setahun selain pernah memberi keterangan sebagai Pakar Perubatan di Mahkamah di Sabah.
Pada prosiding sesi petang hari ini juga, beberapa barang kes termasuk baju T-Shirt lengan panjang milik mangsa dan spesimen turut di bawa masuk ke dalam Mahkamah sebelum di buka di hadapan hakim dan galeri awam.
Perbicaraan membabitkan 13 remaja berusia antara 16 hingga 19 tahun yang dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Perbicaraan bersambung esok.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.