BENTONG: Lelaki orang kurang upaya (OKU) Kan Kong Cheng yang disyaki membunuh bapanya di kediaman mereka di Flat Purnama, di sini, 25 Jun lalu diarahkan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini untuk menjalani pemeriksaan psikiatri.
Majistret Qasiratul Jannah Usmani Othman mengarahkan Kok Cheng, 22, menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Permai Johor Bahru sebelum sebutan semula kes yang ditetapkan pada 3 Ogos.
Mengikut pertuduhan, Kok Cheng didakwa melakukan pembunuhan terhadap bapanya Kan Kok Chong, 64, di Flat Purnama di sini, sekitar 22 hingga 24 Jun lalu.
Pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tertuduh yang hadir ke Mahkamah diiringi anggota polis memakai pakaian lokap berwarna jingga dilihat tenang dan mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan.
Media sebelum ini melaporkan, tertuduh yang juga OKU masalah pembelajaran ditemui berada di sisi mayat bapanya ketika pihak berkuasa menyerbu kediaman mereka.
Difahamkan mangsa, 65, ditemui dengan kesan melecur dipercayai berikutan anak bongsunya itu cuba melakukan upacara pengebumian ke atas mangsa.
Ketika kejadian isterinya berusia 61 tahun bersama anak keduanya iaitu seorang lelaki berusia 28 tahun berada di Kuala Lumpur atas urusan perubatan di sebuah hospital sejak 19 Jun lalu.