PUTRAJAYA: Seorang banduan akhir kekal menjalani hukuman mati kerana membunuh anak kandung perempuan berusia 22 bulan selepas permohonan semakannya ditolak Mahkamah Persekutuan hari ini.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Harmindar Singh Dhaliwal yang bersidang bersama-sama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais sebulat suara memutuskan demikian terhadap pemohon, Mohd Nizam Mohamad, 45.
Lelaki itu disabitkan membunuh kanak-kanak perempuan yang ketika kejadian berusia setahun 10 bulan antara jam 9 pagi, 23 November 2009 dan 12 tengah hari, keesokan hari di sebuah rumah di Repoh, Kangar, Perlis.
Pada prosiding itu, peguam Datuk Naran Singh yang mewakili Mohd Nizam berhujah supaya mahkamah mempertimbangkan anak guamnya menghidap penyakit mental dan memerlukan rawatan berterusan.
Ketika ditanya oleh panel itu sama ada pemohon menghidap penyakit itu ketika melakukan perbuatan itu, peguam itu tidak dapat mengesahkannya kerana tiada rekod berhubung perkara itu.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Solehah Noratikah Ismail berhujah supaya hukuman mati dikekalkan kerana bertindak demikian terhadap mangsa yang tidak berdaya.
“Mangsa bukan sahaja mengalami kecederaan kerana dipukul malah mukanya turut digigit oleh lelaki itu,” katanya.
Solehah Noratikah turut berhujah, pemohon turut mengugut untuk membunuh isteri dan kakak isterinya jika kejadian itu diketahui orang lain.
Katanya, Mohd Nizam adalah penjenayah tegar dan pernah ditahan kerana dadah dan dia berpeluang untuk berubah ketika bebas daripada tahanan, sebaliknya memilih untuk melakukan jenayah dengan membunuh anak kandungnya.
Berdasarkan fakta kes pendakwaan, mangsa pada awalnya dibawa ke klinik oleh ibunya kerana mengalami demam panas dan berada dalam keadaan tidak bermaya.
Kanak-kanak itu kemudian dibawa balik ke rumah sebelum seorang jiran mendapati kaki dan tangannya sejuk dan selanjutnya dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk dirawat namun meninggal dunia ketika tiba di sana.
Hasil laporan bedah siasat mendapati mangsa mengalami pelbagai kecederaan dan kesan lebam pada kulit kepala, dahi, kesan melecet pada pipi kanan yang berpadanan dengan corak gigitan serta lebam pada paha kanan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.