SHAH ALAM: Seorang broker kereta didakwa ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 10 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM1.35 juta berkaitan pembelian tiga kenderaan mewah pada 2017.
Amier Amzar Akbarudin, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.
Tertuduh didakwa memindah dan melupuskan wang tunai bernilai RM1.24 juta dan cek berjumlah RM110,000 hasil aktiviti haram ke dalam dua akaun bank miliknya serta akaun bank milik tujuh lelaki berbeza berusia 32 hingga 67 tahun.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah bank di Subang Jaya antara 4 Februari hingga 6 April 2017.
Amier Amzar didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjarakan tidak melebihi 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi.
Dalam prosiding sama, Amier Amzar turut mengaku tidak bersalah menipu seorang lelaki berusia 44 tahun untuk membeli tiga kenderaan import iaitu Porsche 911, Lamborghini Aventador dan Audi R8 yang mendorong lelaki itu membuat bayaran berjumlah RM1.45 juta.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Afendi, mengesyorkan jaminan RM40,000 bagi setiap pertuduhan pengubahan wang haram manakala Timbalan Pendakwa Raya, Aida Khairuleen mencadangkan jaminan RM50,000 bagi pertuduhan penipuan pembelian kenderaan mewah.
Pendakwaan juga mengemukakan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di balai polis berdekatan tempat tinggalnya.
Tertuduh yang diwakili peguam S Sathya memberitahu jaminan yang disyorkan amat tinggi dan memohon jaminan dikurangkan dengan alasan penanggung tunggal keluarga.
Katanya, Amier Amzar mempunyai dua anak termasuk yang baru berusia sebulan manakala isterinya tidak bekerja.
“Dia mempunyai pendapatan tidak tetap dan secara purata memperoleh RM4,000 sebulan. Tertuduh juga menanggung ibu bapanya, mohon RM100,000 ditawarkan sebagai jaminan kepada anak guam saya,” jelasnya.
Hakim menetapkan jaminan RM200,000 bagi semua pertuduhan pengubahan wang haram dan RM25,000 bagi penipuan pembelian kenderaan mewah serta membenarkan syarat tambahan yang dikemukakan pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Januari depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.