Tumpuan :
Mahkamah

Bomoh mengaku bersalah cabul kanak-kanak perempuan ketika rawatan

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KEMAMAN: Seorang lelaki yang disyaki bomoh, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kemaman, Terengganu, atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, Januari lalu.

Berdepan dengan tiga pertuduhan, Muhammad Adiq Alqbab Zanuddin, 20 tahun membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara menyentuh alat sulit kanak-kanak itu bagi maksud seksual.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual kontak fizikal tanpa persetubuhan bagi maksud seksual terhadap mangsa.

Kesalahan mengikut Seksyen 14(d) akta yang sama yang juga boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebat.

Tertuduh melakukan kesemua kesalahan itu kira-kira jam 1 pagi, pada 31 Januari lalu di sebuah rumah, di Bandar Seri Bandi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diberi jaminan sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin.

13 Mac depan ditetapkan sebagai tarikh laporan sosial, fakta dan hukuman.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini