JOHOR BAHRU: Pengarah dan syarikat pembungkus minyak masak paket didenda RM240,000 oleh Mahkamah Sesyen Batu Pahat, semalam selepas didapati memberi maklumat palsu.
Tertuduh, Mohd Nazib Jamean, 46, yang juga mewakili syarikatnya membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberi maklumat palsu semasa mengemukakan maklumat penjualan minyak masak ketika pemeriksaan.
Kesalahan dilakukan didakwa dilakukan di sebuah premis di Tongkang Pechah, Batu Pahat kira-kira 10.30 pagi pada 22 November tahun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8(4)(B) Akta Kawalan Bekalan 1961.
Mohd Nazib kemudian didenda RM90,000 atau sembilan bulan penjara jika gagal membayar denda, manakala syarikatnya pula didenda RM150,000.
Mahkamah turut memutuskan kesemua hasil jualan minyak masak berjumlah RM62,000 dilucuthak dan dijadikan hasil kerajaan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.