Tumpuan :
Mahkamah

Beri anak saudara minum air ketum, rakam dan tularkan, lelaki didenda RM10,000

Tertuduh didenda RM10,000 kerana memberi minum air ketum, rakam dan memuat naik video ke media sosial . FOTO NSTP

BATU PAHAT: Seorang pekerja pendawaian elektrik mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menganiayai anak saudara perempuannya dengan memberi minum air ketum sebelum merakam dan memuat naik video kejadian itu ke media sosial, November lalu.

Tertuduh berusia 24 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh, yang kemudian menjatuhkan hukuman denda RM10,000. Tertuduh membayar denda itu.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dikenakan perintah bon berkelakuan baik dengan cagaran RM2,000 selama dua tahun serta khidmat masyarakat 120 jam dalam tempoh enam bulan bermula dari tarikh perintah dikeluarkan.

Mengikut pertuduhan, dia yang masih bujang didakwa menganiayai kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dengan cara menyuruhnya meminum racun mitragynine (air ketum).

Perbuatan itu dilakukan oleh tertuduh di sebuah rumah di Rengit pada 10.51 malam, 2 November lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) dan Seksyen 31(2) akta sama.

Berdasarkan fakta kes, polis menahan tertuduh pada 4 November lalu selepas menerima laporan berhubung video tular di media sosial yang memaparkan perbuatan tertuduh terhadap kanak-kanak itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini