Tumpuan :
Mahkamah

Bergaduh di sekolah, 6 pelajar dilepaskan tanpa dibebaskan

KANGAR: Enam pelajar sebuah sekolah menengah di Perlis dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Kanak-Kanak di Mahkamah Majistret, di sini atas pertuduhan bergaduh di kawasan sekolah pada tahun lalu.

Keputusan dibuat oleh Majistret Nurshahida Abdul Rahim selepas keluarga tertuduh bersetuju untuk menyelesaikan perkara berkenaan di luar mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh yang berusia 17 tahun didapati berhimpun dengan menyalahi undang-undang bertujuan untuk bergaduh dimana perbuatan berkenaan dilakukan antara 10.45 pagi hingga 11 pagi pada 1 Ogos tahun lalu di satu kawasan lapang bersebelahan kantin di sebuah sekolah di Perlis.

Oleh yang demikian tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya, Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Ch’ng De Sern.

Prosiding pada kali ini adalah sebagai lanjutan sebutan semula kes selepas pertuduhan terdahulu dibuat pada 10 November tahun lalu dan tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Sementara itu, De Sern ketika ditemui di luar mahkamah berkata, keputusan yang dibuat mahkamah itu disambut baik oleh pelajar dan keluarga yang mahukan kes ini diselesaikan secara baik di luar mahkamah.

“Hasil perbincangan bersama waris keluarga bersetuju untuk menarik balik kes itu kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan dan kesemuanya sudah berbaik dan berdamai.

“Malah keputusan ini penting kepada masa depan pelajar terbabit memandangkan kesemuanya bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada akhir tahun ini,” katanya.

“Apa yang penting adalah masa depan untuk pelajar berkenaan yang masih panjang untuk menjadi warga yang berguna untuk negara,” katanya.

Selain itu juga, apa yang membanggakan dari kes berkenaan adalah bukan sahaja pelajar yang terbabit menjadi lebih rapat tetapi juga kalangan ahli keluarga mereka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini