KOTA BAHRU: Bekas presiden kelab berbasikal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan pecah amanah dan menyalahgunakan wang bantuan berjumlah RM80,000, pada Mac 2017.
Hakim Zaman Mohd Noor membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Mohammad Yusri Ismail, 48, terhadap pertuduhan asal dan pertuduhan pilihan.
Bekas presiden kelab berbasikal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bahru, hari ini atas pertuduhan pecah amanah dan menyalahgunakan wang bantuan berjumlah RM80,000, pada Mac 2017. pic.twitter.com/Kt62MsJudT
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) January 31, 2024
Zaman dalam penghakimannya berkata beliau melepaskan dan membebaskan tertuduh tanpa perlu dipanggil membela diri.
“Pihak pendakwaan gagal membuktikan orang kena tuduh (OKT) sebagai pengerusi kelab yang sah,” katanya.
Mengikut pertuduhan asal, tertuduh iaitu sebagai Presiden Kelab Berbasikal Darulnaim (DCC) yang diamanahkan dengan wang bantuan Pelan Induk Pembangunan dan DCC Talent Development Program 2017 berjumlah RM80,000 milik DCC didakwa melakukan pecah amanah jenayah iaitu menjadikan harta itu sebagai kegunaannya dan tidak melaksanakan program.
Kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara selama tidak lebih 20 tahun, sebat dan denda.
Bagi pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa dengan curangnya menyalahgunakan wang bantuan berjumlah RM80,000 milik DCC untuk kegunaan sendiri.
Bagi pertuduhan pilihan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara enam bulan sehingga lima tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Mohammad Yusri didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Alor Pasir, Pasir Puteh pada 26 Mac 2017.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mariah Omar dan tertuduh diwakili peguam, Azura Ghazali.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.