KUALA LUMPUR: Seorang bekas penyelia syarikat pelancongan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas 11 tuduhan kes rasuah berjumlah hampir RM150,000 .
Suapan sebagai upah mendapatkan 6,051 tiket penerbangan bagi menunaikan umrah.
Muhammad Fariz Jamaluddin, 35 didakwa secara rasuah meminta dan menerima masing-masing satu telefon bimbit Samsung Galaxy Z Fold 4 dan IPhone 14 Pro Max ITB bernilai RM15,598, selain menerima rasuah wang tunai RM110,280 serta satu set lensa kamera bernilai RM6,600.
Tertuduh didakwa meminta dan menerima rasuah daripada tiga pengarah urusan syarikat pelancongan lain; Ab Hakimee, Mohd Zahid Saaizan dan Abdul Rahim Ibrahim, sebagai upah membantu mendapatkan tiket penerbangan Saudi Airlines bagi urusan jemaah mengerjakan umrah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi termasuk rumah tertuduh di ibu negara antara 16 Disember 2019 hingga 7 Februari lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh, mencadangkan jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
“Syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan.
“Jumlah jaminan itu sesuai dan wajar, tertuduh juga tidak boleh berinteraksi dengan saksi pendakwaan yang juga rakannya hingga kes selesai,” katanya.
Susulan itu, peguam Muhammad Fariz, Ridha Abdah Subri, memohon jaminan minimum RM20,000 dengan dua penjamin, namun tidak membantah syarat tambahan dicadangkan pendakwaan.
“Jumlah jaminan itu mengambil kira keadaan kewangan anak guam yang juga penanggung tunggal keluarga termasuk dua anak berusia lima dan lapan tahun yang tinggal bersamanya.
“Tertuduh sudah bercerai dengan isteri pada tahun lalu, manakala bapa meninggal dunia pada 2016 dan ibunya uzur turut tinggal bersamanya,” katanya.
Mahkamah membenarkan jaminan RM40,000 dengan dua penjamin dan syarat tambahan dicadangkan pendakwaan, selain menetapkan 18 September depan untuk sebutan semula kes.