comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bekas penolong jurulatih bowling dipenjara 6 tahun kerana lakukan amang seksual fizikal

Tertuduh, Mat Salleh Jalani ketika dihadapkan ke mahkamah pada 26 Oktober 2022.

KUALA TERENGGANU: Bekas penolong jurulatih boling dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap atlet Sukan Malaysia (Sukma).

Keputusan itu dibuat Hakim Nooriah Osman selepas tertuduh, Mat Salleh Jalani, 61, didapati bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki yang ketika kejadian berumur 14 tahun satu bulan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di dalam bilik di sebuah rumah di Marang pada Mac 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara ke atas tertuduh bermula daripada tarikh sabitan iaitu hari ini.

Selain itu, tertuduh turut diarahkan berada dalam pengawasan polis selama dua tahun mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanim Ayim manakala tertuduh diwakili peguam, Marlisa Marzuki.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini