KUALA TERENGGANU: Seorang bekas pengerusi masjid di Kerteh, Kemaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menipu pegawai agama badan kebajikan sebuah syarikat petroleum dengan mengemukakan senarai penerima zakat palsu pada Mac tahun lalu.
Tertuduh, Hamizan Amid, 56, didakwa menyerahkan senarai penerima zakat yang bukan berstatus asnaf miskin, menyebabkan sumbangan RM1,000 diberikan kepada empat individu yang tidak layak.
Dia berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Hakim Mohd Azhar Othman membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Mac depan untuk pengurusan kes serta serahan dokumen.
Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah, tidak mengganggu saksi pendakwaan, dan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan sehingga kes selesai.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mariah Omar, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hisham Hahim.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.