Oleh: Zahir Senapiah
JOHOR BAHRU: Bekas Pengerusi FELDA Selancar 3 Pahang mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas 15 tuduhan memalsukan cek koperasi berjumlah RM34,450 antara 27 September 2019 hingga 21 Mei 2021.
Tertuduh membuat pengakuan itu, selepas semua tuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Siti Noraida Sulaiman.
Tertuduh Saad Rajali, 67, yang ketika itu Pengerusi FELDA Selancar 3, didakwa menggunakan cek milik Koperasi Peneroka FELDA Selancar Tiga, Pahang Berhad, atas nama lapan peneroka lain yang mana ia adalah palsu berjumlah RM650 hingga RM5,000.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank, di daerah Segamat antara 27 September 2019 hingga 21 Mei 2021.
Dia didakwa mengikut seksyen 471, kanun keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen 465 kanun sama.
Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksima dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rifah Izzati Abdul Mutalif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh turut diarah menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
25 Mac depan ditetapkan untuk sebutan semula fakta kes, lantikan peguam dan hukuman.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.