comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bekas pengasuh mengaku bersalah campur ubat selesema dalam susu bayi 

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengasuh menangis selepas mengaku bersalah melakukan penganiayaan dengan mencampurkan ubat selesema ke dalam susu seorang bayi berusia 18 hari.

Tertuduh Hew Foong Chun, 66, meminta maaf beberapa kali ketika prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Dr Azrol Abdullah.

“Saya memohon maaf. Saya tidak melakukannya dengan sengaja. Saya ingat bayi berkenaan selesema, saya cuma mahu dia sembuh,” katanya.

Terdahulu, dia mengaku salah sebaik saja pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Kantonis.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah unit di Residensi Bukit Jalil, jam 2.21 pagi pada 15 September lalu.

Foong Chun turut memaklumkan mahkamah dia mengalami beberapa masalah kesihatan dan tidak mempunyai pekerjaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Ikhwan Mohd Nasir, memohon hukuman berbentuk pengajaran dan pencegahan.

“Mangsa hanya berusia 18 hari dan tidak boleh mempertahankan diri. Perbuatan tertuduh dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) dan kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM8,000 dan tambahan sembilan bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Mahkamah turut mengenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM1,000 dan memerintahkannya menjalani kerja khidmat masyarakat selama 90 jam dalam tempoh enam bulan bermula hari ini.

Berdasarkan fakta kes, bapa mangsa mengambil Foong Chun bekerja pada 8 September lalu bagi menjaga anaknya selama 20 hari dengan gaji sebanyak RM4,500.

Bapa mangsa bagaimanapun merasa curiga apabila mendapati anaknya sering tidur dan kesihatan mangsa tidak seperti bayi lain.

Pada 15 September, jam 2.30 petang, beliau memeriksa rakaman CCTV dan mendapati Foong Chun meletakkan ubat ke dalam botol susu anaknya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini