comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bekas pengarah syarikat beras didakwa kemuka tuntutan palsu lebih RM8.9 juta

FOTO: NSTP

 

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah syarikat beras didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 28 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bagi pembiayaan pembelian beras kepada sebuah bank berjumlah lebih RM8.9 juta.

Fikri Abu Bakar, 58, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Tertuduh didakwa sebagai Pengarah Fikri Rice Sdn Bhd melalui Muhammad Aizuddin Zakaria, 37, sebagai eksekutif operasi syarikat telah memberikan 28 invois berjumlah RM8.9 juta bagi menuntut kemudahan pembiayaan Trade Working Capital Financing Islamic untuk pembelian beras, kepada ejen Agrobank Berhad.

Berdasarkan pertuduhan, invois itu bagaimanapun mengandungi pernyataan palsu sedangkan tiada pembelian beras dibuat syarikat terbabit.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara Wisma Maran di sini antara 18 November 2019 hingga 16 Januari 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama, membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang RM10,000 atau lima kali ganda nilai terlibat, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Fikri yang juga anak pengasas syarikat beras terkemuka itu turut berdepan 28 pertuduhan pilihan, iaitu didakwa menggunakan 28 invois palsu membabitkan jumlah serupa (RM8.9 juta) pada tempat dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan pilihan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.

25 Mac depan ditetapkan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

Loading...
Terkini