JOHOR BAHRU: Bekas Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili di Johor diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan menerima suapan RM10,000 empat tahun lalu.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Mohd Zulfadli Nayan, 43, di akhir kes pendakwaan.
Peguam Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly yang mewakili tertuduh kemudian memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah ketika prosiding bela diri.
Beliau turut memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan mengemukakan antara tujuh atau lapan saksi ketika prosiding bela diri yang dijadualkan selama tujuh hari iaitu pada 8, 13 dan 14 Januari; selain 17 dan 20 Februari serta 3 dan 4 Mac tahun depan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zander Lim Wai Keong.
Pada 23 Mei 2021, tertuduh yang kini digantung tugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Hubungan dan Koordinasi Antarabangsa Ibu Pejabat Maritim Malaysia mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan terbabit.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd Zulfadli didakwa menerima suapan RM10,000 daripada pemilik syarikat perkapalan, Wan Mohd Fauzi Wan Kamaruddin, di sebuah restoran di Jalan Yahya Awal di sini pada jam 10 malam, 2 Oktober 2020.
Mohd Zulfadli didakwa menggunakan jawatannya ketika itu untuk tidak mengambil tindakan terhadap siasatan kapal MT Singa Gangsa milik Alamgala Resources Sdn Bhd yang ditahan KM Mulia milik Maritim Malaysia pada 17 September 2020.
Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.