Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 26 bulan ke atas bekas Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang disabitkan dengan tiga pertuduhan menerima suapan, 10 tahun lalu.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menolak rayuan Datuk Abu Bakar Mohd Yusof untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang telah mengesahkan sabitan Mahkamah Sesyen.
Turut bersidang sama, Hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin.
Hakim Azmi ketika menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah berkata, pihaknya berpendapat tiada merit dalam rayuan tersebut, justeru, sabitan terhadap Abu Bakar adalah selamat untuk dikekalkan.
“Berdasarkan alasan dan penghujahan pihak pendakwaan dan peguam, kami sebulat suara berpendapat, tidak terdapat merit rayuan tertuduh untuk kami campur tangan (keputusan Mahkamah Sesyen). Tertuduh bersalah ketiga-tiga pertuduhan,” katanya.
Pada 23 November 2018, Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor mensabitkan Abu Bakar, 69, hukuman penjara 26 bulan dan denda berjumlah RM133,326.40 selepas didapati bersalah menerima suapan berbentuk penginapan hotel serta wang tunai RM20,000 daripada pemilik sebuah syarikat, antara 2014 dan 2015.
Hakim Rozilah Salleh turut menjatuhkan hukuman penjara 42 bulan dan denda RM222,500 ke atas bekas pelukis pelan di jabatan itu, Mohd Nasir Mohd Isa kerana menerima suapan berbentuk penginapan hotel dan wang tunai RM40,500 daripada pemilik syarikat yang sama.
Mengikut pertuduhan, Abu Bakar didakwa menerima suapan berbentuk penginapan di sebuah hotel di Sepang, Selangor bernilai RM2,097.28 dan penginapan di sebuah hotel di Port Dickson, Negeri Sembilan bernilai RM4,568 selain didakwa bersama-sama Mohd Nasir menerima suapan wang tunai RM20,000.
Kesemua suapan yang diterima daripada pemilik Syarikat Warna Generasi Sdn Bhd, Mazlan Jamaluddin adalah sebagai dorongan untuk melantik syarikat itu melaksanakan kontrak kerja pengeluaran bahan batuan, pasir dan mendapan di Empangan Batu serta tidak mengganggu dan mengekalkan kontrak kerja-kerja tersebut yang dibuat oleh syarikat berkenaan.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan di beberapa lokasi di Lembah Klang dan Port Dickson, antara 29 November 2014 hingga 14 Jun 2015, serta dihukum mengikut Seksyen 24 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Abu Bakar dihukum penjara dua bulan bagi sabitan pertama, empat bulan untuk sabitan kedua dan 20 bulan untuk sabitan ketiga.
Hukuman penjara bagi ketiga-tiga pertuduhan berjalan secara berturut-turut (menjalani hukuman untuk setiap kesalahan secara berasingan).
Dia kemudian membawa kes ke Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi menolak rayuannya pada 31 Oktober 2022.
Abu Bakar diwakili peguam, Ainur Azalia Ayoub manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Asraf Mohamed Tahir dan Noralis Mat.
Sementara itu, Ainur Azalia meminta hukuman berjalan serentak dan bukannya secara berturut-turut, serta menyatakan hukuman denda telah pun dibayar tertuduh. Bagaimanapun, Noralis membantah permohonan itu dan menyifatkan kesalahan yang dilakukan adalah berat dan membabitkan penjawat awam.
Hakim Ahmad Zaidi kemudiannya memutuskan Abu Bakar menjalani hukuman penjara secara berturut-turut dan mengarahkan waran komital dikeluarkan untuk tertuduh mula dipenjara hari ini.
“Setelah pertimbangan akta dan pertuduhan dihadapi oleh tertuduh, ketiga-tiga kesalahan (yang dilakukan) adalah kesalahan berbeza. Jadi hukuman penjara berjalan berturut-turut.
“Rayuan dan hukuman sabitan ditolak,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.