Oleh: Kumaran Rajamoney
ALOR SETAR: Seorang bekas pemilik syarikat mengaku bersalah atas petuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM44,600 di bawah Program Penjana 2.0 PERKESO Kerjaya, pada tahun 2021.
Muhammad Asyraf Omar, 31, membuat pengakuan itu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas pertuduhan pilihan itu dibacakan jurubahasa terhadapnya.
Hakim Rohatul Akmar Abdullah bagaimanapun menetapkan 7 November depan untuk sebutan semula fakta kes dan hukuman ke atas tertuduh.
Muhammad Asyraf dituduh dengan curangnya menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu dokumen Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja (Hiring Insentive Program) atas nama Perusahaan Syarikat Asyraf Omar Legacy No Kod Majikan D6102101219Z bertarikh 11 Mei 2021.
Ia bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana 2.0 PERKESO Kerjaya berjumlah RM44,600 kepada ejen Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen itu adalah palsu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Unit Pegawai Pekhidmatan Pekerjaan, PERKESO Kedah pada 16 Mei 2021.
Muhammad Asyraf dituduh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama iaitu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu keputusan hukuman nanti.
Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rehab Abdul Shukur manakala tertuduh diwakili Peguam Muhaimin Hashim.