comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bekas pembantu restoran tipu anak majikan didenda RM20,000

BUTTERWORTH: Gara-gara menipu anak pemilik restoran nasi kandar tempatnya bekerja, seorang lelaki didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas tertuduh, Jalil Ahmad Mohd Adam, 53 mengaku bersalah atas kesalahan itu sehingga mangsa menyerahkan RM50,000, tahun lalu kononnya sebagai bayaran permohonan lesen perniagaan.

Tertuduh bagaimanapun turut diperintahkan dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu oleh Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bekerja sebagai pembantu restoran didakwa menipu seorang lelaki berusia 22 tahun yang juga anak pemilik tempatnya bekerja, dengan cara memperdayakan mangsa untuk mempercayai bahawa tertuduh akan membantu mangsa mendapatkan lesen perniagaan daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Perkara itu mendorong mangsa membuat bayaran RM50,000 kepada tertuduh yang mana mangsa tidak akan berbuat demikian sekiranya tahu ia tidak benar.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Lebuh Sungai Pinang, Georgetown dekat sini, pada 17 Oktober 2022, antara jam 2 petang hingga jam 4.05 petang.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee dan Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, tertuduh yang ditemani ibu serta ahli keluarganya merayu denda minimum dikenakan terhadapnya berikutan dia tidak lagi bekerja dan tinggal bersama ibunya bersama dua anak perempuan yang kini menyaranya.

Mahkamah menetapkan denda RM20,000 dan penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan dan tertuduh kemudiannya membayar denda terbabit.

Loading...
Terkini