Tumpuan :
Mahkamah

Bekas pembantu pusat asuhan didakwa aniaya kanak-kanak 3 tahun

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pembantu sebuah pusat asuhan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak lelaki sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal, lima bulan lepas.

Nur Iffatinnadwah Mat Lias, 22, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap mangsa yang berusia tiga tahun dua bulan di sebuah pusat asuhan di Plaza Damas di sini, antara 5.15 petang hingga 6.15 petang, 9 Julai.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan RM20,000 ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaludin Akbal, dikurangkan atas alasan dirinya anak yatim dan menyara hidup dengan berniaga.

Hakim Egusra Ali membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai, selain menetapkan 7 Feb depan sebagai sebutan semula kes. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini