ALOR SETAR: Seorang bekas kerani bank didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang berjumlah RM115,900 milik sebuah masjid di Kuala Nerang, Padang Terap, dua tahun lalu.
Tertuduh Mohd Abd Rahman Hamzah, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.
Mengikut pertuduhan, tertuduh secara curang melakukan pecah amanah harta iaitu wang dalam akaun Masjid Kampung Paya, Kuala Nerang berjumlah RM115,900 dengan menjadikannya sebagai kegunaan sendiri.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 1.27 tengah hari antara 23 Mac 2022 hingga 26 Julai 2022 di Bank Rakyat Cawangan Kuala Nerang.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan disebat serta denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Ab Rashid, manakala tertuduh diwakili peguam Ilyana Syafiqa Md Saad.
Mengikut fakta kes, Abd Rahman didapati mengeluarkan wang secara salah daripada akaun Masjid Kampung Paya dan siasatan polis mendapati wang itu digunakan bagi melakukan pelaburan dalam aktiviti perdagangan mata wang asing (Forex).
Kegiatan itu terbongkar selepas pengurusan Bank Rakyat melakukan audit dalaman sebelum kes dilaporkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap.
Dalam rayuannya, Ilyana Syafiqa memohon jaminan rendah dikenakan ke atas anak guamnya berikutan tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap selepas diberhentikan kerja selain memberikan kerjasama penuh kepada siasatan dalaman yang dilakukan Bank Rakyat.
Tertuduh yang masih menanggung isteri, emak dan dua anak berusia tujuh dan 12 tahun juga memberi kerjasama sepanjang proses siasatan polis termasuk hadir memberi kenyataan kepada pegawai penyiasat kes berkenaan.
Pihak pendakwaan kemudian mencadangkan ikat jamin RM60,000 serta dua penjamin berikutan kes berkenaan dianggap serius.
Mazdi membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dengan syarat melapor diri di balai polis berdekatan setiap awal bulan, menyerahkan pasport dan pas sempadan dan dilarang berjumpa atau ganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 16 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.