ALOR GAJAH: Bekas guru besar sebuah sekolah didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan memeluk dan mencium seorang bekas guru pelatih wanita, tahun lalu.
Mohammed Mohd Som, 58, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sejurus tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang guru pelatih wanita berusia 21 tahun ketika kejadian dengan cara memeluk dan mencium dahi mangsa.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah kereta di hadapan sebuah premis di Taman Wira Indah dan Taman Ilir Jaya, dekat sini, pada 18 Januari dan 30 Julai 2024, kira-kira jam 11 malam.
Bagi pertuduhan ketiga, Mohammed didakwa melakukan kesalahan sama dengan cara memeluk dan mencium pipi mangsa di dalam tandas kelas prasekolah sebuah sekolah di Lubok China, dekat sini, pada 16 Ogos 2024, kira-kira 10.40 pagi.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri menawarkan jaminan RM24,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan, namun peguam Datuk Hanif Hassan merayu jumlah itu dikurangkan kepada RM8,000.
Katanya, anak guamnya kini bertugas di Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan tidak berisiko melarikan diri.
Mahkamah membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM7,500 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin sementara menunggu perbicaraan selesai dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 6 Mac ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.