Oleh:Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA TERENGGANU: Bekas Guru besar Sekolah Kebangsaan Merchang, mengaku tidak bersalah dan minta dibicara atas 12 pertuduhan menipu dan dan 3 pertuduhan membuat tuntutan palsu, bernilai RM500,000.
Tertuduh, Zalina Bidin, 47 tahun, membuat pengakuan itu dihadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd Azhar Othman.
Mengikut pertuduhan, sekitar 2022 dan 2023, tertuduh telah secara bersubahat bersama Norani Mohamad dan Ahmad Shukri Muda, telah menipu dengan mengemukakan dokumen-dokumen palsu sehingga menyebabkan SK Merchang menyerahkan 12 keping cek dengan nilaian keseluruhan mencecah setengah juta ringgit.
Tertuduh juga telah dituduh dengan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 atas kesalahan bersubahat dengan cara berpakat jenayah dengan Mohd Hafiz Noor Megashah, dalam mengemukakan borang pengesahan bilangan pekerja dan rekod kehadiran pekerja kebersihan yang mengandungi butir matan palsu.
Dokumen itu digunakan bagi menuntut pembayaran gaji pekerja kebersihan sedangkan pekerja tersebut tidak pernah hadir bekerja.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin.
Selain itu tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Terengganu antara 1 hingga 7 hari bulan setiap bulan sehingga kes selesai.
Mahkamah turut mengarahkan pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada Mahkamah dan tidak dibenarkan mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Ahmad Feisal Mohd Azmi dan Maziah Mohaide.
Manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hazwan Hamidun dan Alif Danial Ahmad Shahrulnizam.
17 Februari depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.