comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bekas Datuk Bandar MBJB berdepan 12 tuduhan rasuah RM1.55 juta

Bekas Datuk Bandar MBJB, Datuk Adib Azhari Daud didakwa kes rasuah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini. – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 12 tuduhan menerima rasuah dianggarkan berjumlah RM1.55 juta antara Jun 2020 hingga Ogos 2021.

Tertuduh, Datuk Adib Azhari Daud, 64 mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas semua tuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Noraida Sulaiman.

Mengikut kertas pertuduhan, tuduhan pertama hingga ke tujuh, tertuduh didakwa menerima rasuah bernilai RM540,000 daripada seorang peniaga dikenali sebagai Mahcmud Sholeh melalui orang tengah daripada 26 Jun 2020 hingga 19 Febuari 2021.

Ia sebagai balasan bagi membantu mendapatkan pelbagai kontrak kerja-kerja penyelenggaraan dalam kawasan MBJB termasuk penyelenggaraan tahunan sistem mekanikal dan elektrik pam kawalan banjir di Sungai Sengkuang, Sungai Chat dan Sungai Sagget dalam kawasan MBJB.

Manakala bagi pertuduhan ke-8 hingga 12, tertuduh didakwa menerima rasuah bernilai RM1.02 juta dari seorang lagi peniaga dikenali sebagai Md Najib Awang melalui orang tengah bermula 26 Jun hingga 25 Disember 2020.

Ia bagi membantu mendapatkan kontrak bagi pelbagai kerja-kerja penyelenggaraan termasuk penyelenggaraan lanskap tepi jalan dalam kawasan MBJB.

Semua pendakwaan dibuat mengikut Sekyen 16 (a)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 yang dibaca bersama Seksyen 24 akta yang sama.

Sabit kesalahan, setiap tuduhan boleh dikenakan hukuman penjara maksima 20 tahun dan didenda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM120,000 bagi semua pertuduhan.

Tertuduh turut diarah menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri setiap bulan minggu pertama kepada pejabat SPRM selain dilarang mendekati saksi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya SPRM, Natrah Fariha Rahmat dan Nurzahida Muhammad Ruzi.

Manakala tertuduh dibela penguam, Azrul Zulkifli Stork.

Kes akan disebut semula pada 3 Julai depan.

Semalam, SPRM menahan seorang bekas Datuk Bandar sebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini, kira-kira jam 4 petang atas kesalahan menerima rasuah lebih daripada RM1 juta daripada kontraktor – kontraktor sebagai balasan kerana telah meluluskan projek di Majlis berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini