comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bekas CEO kolej swasta didenda RM15,000

Bekas CEO kolej swasta (tengah) didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan menggunakan dokumen palsu hari ini. – FOTO: NSTP

KUANTAN: Seorang bekas ketua eksekutif sebuah kolej swasta didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan menggunakan dokumen sijil dan transkrip palsu bagi mendapatkan bayaran RM5,000 kira-kira lapan tahun lalu.

Tertuduh, Amran Mustaffa, 58, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain bagi dua pertuduhan pilihan.

Mengikut pertuduhan pilihan pertama, tertuduh yang berada di sebuah bank di Jerantut pada 21 Oktober 2015, dengan tidak jujur menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu sijil dan transkrip program asasi sains kolej itu atas nama seorang pelajar lelaki bagi mendapatkan bayaran RM3,000 daripada seorang wanita yang tertuduh mempunyai sebab mempercayai dokumen itu adalah palsu.

Bagi pertuduhan pilihan kedua, tertuduh pada 24 Oktober 2015 ketika berada di bank sama menggunakan dokumen palsu sijil dan transkrip program asasi sains kolej itu atas nama pelajar sama bagi mendapatkan bayaran RM2,000 daripada seorang wanita sama.

Susulan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Dalam rayuan, peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili tertuduh meminta mahkamah menjatuhkan hukuman denda saja kerana tertuduh sudah insaf dan menyesal, malah memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Sejak siasatan pada November 2017, tertuduh tidak bekerja dengan kolej terbabit dan terputus pendapatan.

“Tertuduh berniaga secara kecil-kecilan untuk menampung keluarga dan pendapatan setiap bulan tidak menentu yang mempunyai 11 anak berusia antara tiga hingga 32 tahun,” katanya.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rifaah Izzati Abdul Mutalif meminta mahkamah mengenakan hukuman berbentuk peringatan dan pengajaran dengan mengambil kira keseriusan kesalahan dilakukan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM15,000 iaitu masing-masing RM7,000 dan RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan pilihan dan jika gagal membayarnya boleh dipenjara selama enam bulan.

Loading...
Terkini