Tumpuan :
Mahkamah

Bekas banduan menyamar peguam dipenjara 48 bulan, 2 sebatan

Maniarasan dibawa ke Mahkamah Taiping bagi berdepan empat pertuduhan termasuk dua pertuduhan memperdaya dengan cara menyamar sebagai peguam pada Ogos lalu. – FOTO: NSTP

TAIPING: Seorang bekas banduan dihukum penjara 48 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan termasuk dua pertuduhan memperdaya dengan cara menyamar sebagai peguam pada Ogos lalu.

Tertuduh, P Maniarasan, 28, mengaku bersalah atas kesemua tiga pertuduhan yang dibacakan ke atasnya termasuk satu tuduhan mencuri.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia dengan curangnya menipu M S Chandran, 31, dengan memperdaya mangsa bahawa dirinya adalah peguam cara dan peguam bela bertauliah hingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM882 kepada tertuduh yang menjanjikan khidmat perundangan yang tidak wujud di Taiping Golf Resort, di sini, kira-kira jam 5 petang, 8 Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan kedua, dia didakwa sekali lagi dengan curangnya menipu individu sama dengan taktik memperdaya serupa hingga mendorong mangsa menyerahkan pula wang berjumlah RM2,234 secara pindahan melalui akaun bank di lokasi sama jam 1.51 tengah hari, 12 Ogos lalu.

Bagi tuduhan pertama dan kedua itu, kedua-duanya dibaca mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak antara satu hingga 10 tahun dan sebatan serta denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), T Selva.

Majistret Nur Atiqah Sapari kemudian menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan serta satu sebatan bagi setiap daripada dua pertuduhan di bawah Seksyen 420 KK itu yang berjalan serentak bermula tarikh tangkapan pada 23 November lalu.

Dalam pada itu di mahkamah sama, tertuduh mengaku bersalah terhadap tuduhan mencuri dua utas rantai masing-masing milik seorang lelaki dan seorang wanita di rumah di Lorong 3 Jalan Azizul Rahman, di sini antara jam 4 petang pada 2 Mei lalu hingga jam 3 pagi 5 Mei lalu.

Bagi tuduhan mencuri dalam bangunan, pertuduhan ke atas tertuduh dibaca mengikut Seksyen 380 KK yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda.

Nur Atiqah menetapkan tertuduh dihukum penjara 12 bulan bagi kesalahan mencuri dalam bangunan dengan hukuman bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 23 November lalu.

Sejurus hukuman dijatuhkan dalam prosiding itu, tertuduh turut memohon Majistret agar tidak menempatkannya di Penjara Taiping sebaliknya memohon pertimbangan Majistret agar menempatkannya di Pusat Koreksional Kamunting (KEMTA), di sini bagi menjamin keselamatannya.

Tertuduh mendakwa dia pernah dikasari dengan cara dipukul bahkan dicederakan menggunakan senjata tajam oleh beberapa banduan di dalamnya.

Nur Atiqah bagaimanapun berkata penempatan penjara adalah di luar bidang kuasanya dan menyuruh tertuduh membuat permohonan sendiri melalui Jabatan Penjara.

Sementara itu, difahamkan bahawa tertuduh sebelum ini menjalani hukuman penjara atas enam kes berkaitan penipuan selain satu kes berkaitan penculikan sebelum dia dibebaskan pada Januari 2020.

Loading...
Terkini