
KUALA LUMPUR: Bekas atlet Seni Bela Diri Campuran (MMA) dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini kerana memiliki dadah jenis kanabis seberat 1,858.3 gram di sebuah bilik hotel dan hadapan bank, Mac dua tahun lalu.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas tertuduh, Ahmad Deghani, 27, mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan.
Mahkamah juga memerintahkan hukuman penjara sembilan tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan yang berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 16 Mac 2023.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, warga Iran itu didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kanabis dengan berat bersih masing-masing 997.7 gram dan 860.6 gram di hadapan sebuah bank di Bandar Sri Permaisuri, Cheras dan dalam bilik hotel di Dang Wangi antara 3 petang dan 4.30 petang, 16 Mac 2023.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khalijah Mohd Khalid memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh dan memohon hukuman penjara tidak berjalan serentak.
Bagaimanapun, peguam Abdul Rashid Ismail yang mewakili tertuduh dalam hujahnya memohon hukuman penjara singkat berikutan tertuduh sudah menyesal, insaf, dan ingin menebus kesalahan.
“Anak guam saya sedar bahawa dia tidak sempat untuk menamatkan pengajiannya dalam Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan selepas ditahan atas kesalahan ini dan dia sepatutnya menamatkan pengajian pada Jun 2023.
“Tertuduh adalah anak sulung dan sudah gagal dalam tanggungjawabnya terhadap keluarga kerana dipenjarakan, anak guam mempunyai masa depan cerah berdasarkan rekod pencapaian akademik dan kokurikulumnya,” katanya.
Katanya, sepanjang berada di Malaysia, anak guamnya aktif dalam MMA dan pernah mewakili Malaysia dalam pertandingan.
“Walaupun ditahan di penjara, tertuduh masih aktif bersukan dan sesekali melakukan latihan bertinju dengan tahanan lain dengan pengawasan dan kebenaran pihak penjara.
“Sepanjang berada dalam tahanan selama dua tahun, ia adalah masa yang cukup panjang untuk menilai semula tindakannya dan menjadi pengajaran dalam hidupnya,” katanya.