comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bekas anggota RELA dipenjara 43 tahun bunuh rakan 

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

KUALA TERENGGANU: Bekas anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dijatuhi hukuman penjara 43 tahun di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu kerana menembak mati rakan baiknya yang juga bekas Ketua Bahagian MCA Marang dan cubaan membunuh anak saudara mangsa.

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Ong Chow Lee, 60 tahun, mengaku bersalah.

Mengikut pertuduhan pindaan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan bunuh dengan menyebabkan kematian Fong Swee Fuan, 65 tahun.

Tertuduh turut didakwa melakukan cubaan bunuh dengan niat menyebabkan kematian Teo Hock Beng, yang ketika kejadian berusia 45 tahun.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah bangsal di Taman Raya Wakaf Tapai, Marang antara jam 1.20 petang hingga 1.55  petang pada 23 Julai 2021.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 30 tahun.

Tertuduh yang didakwa mengikut pertuduhan Seksyen 307 Kanun Keseksaan, dipenjara 13 tahun.

Mahkamah kemudian mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula daripada tarikh tangkapan iaitu pada 23 Julai 2021.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azizan Abdullah, Amer Abu Bakar Abdullah dan Mohd Khairuddin Idris.

Tertuduh diwakili peguam, Mohd Azlan Shah Mohd Alias, Abdul Hayyi Salim dan Diyana Ibrahim.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini