comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bekas amah tuntut bayaran gaji lebih RM195,000

FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Seorang bekas amah membuat tuntutan saman sivil terhadap bekas majikannya kerana didakwa tidak membayar gaji selama sembilan tahun yang berjumlah RM195,646.33.

Tuntutan itu dibuat untuk gaji sebagai pembantu rumah dan pada masa yang sama turut bekerja di kedai aksesori bekas majikan yang sama.

Derfi Bisilisin, 36, seorang warganegara Indonesia membuat tuntutan itu terhadap bekas majikannya selaku defendan, Koe Boon Aik, 48, di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Derfi memfailkan dua tuntutan berasingan iaitu gaji sebagai pembantu rumah berjumlah RM92,275.36 dan sebagai pekerja kedai aksesori bernilai RM103,370.97.

Dalam tuntutannya itu, Derfi ketika memberi keterangan sebagai saksi utama pada perbicaraan hari pertama di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli berkata, dia diambil bekerja sebagai pembantu rumah sejak 2011 oleh majikannya melalui ejen pekerjaan dan ditawarkan sebagai pembantu rumah.

Katanya, dia ditawarkan gaji awal sebanyak RM600 sebulan dan kenaikan gaji RM50 setahun dan sehinggalah akhir perkhidmatannya sebanyak RM1,100 sebulan.

Sepanjang berkhidmat, dia mendakwa tidak diberi tempat tidur yang selesa, malah turut diberi makan hanya sekali sehari dan diperlakukan dengan tindakan kasar termasuk dimarah dan ditampar majikannya.

Justeru, Derfi menuntut ganti rugi am bagi kesakitan dan penderitaan yang dialaminya serta ganti rugi khas lebih RM50,000 bagi kehilangan pendapatan, perbelanjaan lain yang akan ditaksirkan oleh mahkamah.

Defri diwakili peguam, Alias Ibrahim, Md Faiez Md Suhaimi dan Ahmad Mustaqim Zaki, manakala defendan diwakili peguam, Tara Singh Delip Singh.

Pada November 2021, Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur melantik peguam bagi mewakili plaintif untuk melakukan dua tuntutan iaitu gaji sebagai pembantu rumah berjumlah RM93,000 dan gaji sebagai pembantu kedai aksesori kereta sejumlah RM109,000.

Loading...
Terkini