Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA TERENGGANU: Seorang bekas ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bersama isterinya mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan menyalahguna kuasa dan mengemukakan tuntutan palsu berhubung agihan zakat hampir RM20,000.
Tertuduh, Datuk Mohamad Zahari Harun, 64, dan isterinya, Lydia Irmawati Mahmud, 41 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan kesalahan yang didakwa dilakukan antara 2019 hingga 2021, dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.
Mohamad Zahari berdepan dengan satu (1) pertuduhan iaitu didakwa menggunakan kedudukannya dengan mengambil bahagian dalam membuat keputusan melantik syarikat Amcare Agency sebagai ejen kutipan zakat pada Mesyuarat Jawatankuasa Zakat MAIDAM kali keempat 2019, dengan syarikat itu milik isterinya.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu pada 23 September 2019 di Pejabat MAIDAM di sini di bawah Seksyen 26(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, membabitkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Lydia Irmawati yang juga pemilik syarikat berdepan lapan (8) pertuduhan menipu bagi bayaran balik bahagian fakir miskin kepada MAIDAM berjumlah hampir RM19,000.
Lydia Irmawati telah membuat pengakuan bersalah terhadap satu pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan membuat pengakuan bersalah terhadap empat pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang ditawarkan oleh pihak Pendakwaan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi sama antara Disember 2020 sehingga Disember 2021.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 terhadap Datuk Mohamad Zahari Harun, jika gagal membayar didenda boleh dikenakan penjara dua bulan.
Manakala RM16,000 denda terhadap Lydia Irmawati dan dikenakan hukuman dua bulan penjara bagi setiap pertuduhan jika gagal membayar denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh, manakala tertuduh diwakili peguam, Azrul Zulkifli Stork.
Mahkamah juga membenarkan wang berjumlah RM6,919.66 dalam akaun Maybank milik Amcare Agency dilucuthakkan kepada kerajaan Malaysia di bawah Seksyen 40(1).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.