Tumpuan :
Mahkamah

Bekas ADUN Tronoh gagal kemuka bukti baharu, Hakim anggap dengar cakap

Tronoh Paul Yong Choo Kiong (kanan) yang disabitkan kesalahan merogol pembantu rumahnya enam tahun lepas hadir di Mahkamah Tinggi Ipoh, hari ini.

Oleh: Kumaran Rajamoney

IPOH: Mahkamah Tinggi Ipoh menolak bukti tambahan yang dikemukakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong dalam sabitan kes rogol terhadap pembantu rumahnya pada 2019.

Hakim, Datuk Abdul Wahab Mohamed memberikan pandangan bahawa bukti baharu yang dikemukakan kepada mahkamah pada 5 Februari lalu bersifat dengar cakap dan tidak boleh diterima sebagai keterangan.

Beliau menjelaskan bahawa dokumen yang diserahkan oleh pihak pembelaan tidak sahih kerana tidak disokong dengan keterangan langsung daripada mangsa.

Mahkamah juga mengekalkan keputusan asal berdasarkan keterangan yang diberikan dalam perbicaraan sebelum ini kerana percaya kepada kredibiliti mangsa, selain menimbulkan isu ketidaksempurnaan tandatangan dalam dokumen yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.

Untuk rekod, Mahkamah Persekutuan dijadual mendengar rayuan penuh kes ini pada 17 Mac depan.

Pada Julai 2022, Mahkamah Tinggi Ipoh telah menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan terhadap Paul atas kesalahan merogol pembantu rumahnya berusia 23 tahun pada Julai 2019.

Pada Mac 2024, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan terhadap tertuduh, namun mengurangkannya kepada lapan tahun penjara dan dua sebatan.

Mahkamah Persekutuan pada 12 November lalu membenarkan permohonan Paul untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuannya, membabitkan pengakuan pembantu rumah yang mendakwa bahawa dia memberikan keterangan palsu semasa perbicaraan terdahulu.

Susulan perkembangan itu, Mahkamah Persekutuan mengarahkan Mahkamah Tinggi Ipoh menerima dan mengesahkan bukti tambahan tersebut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini