Oleh Baharuddin Mohamed
MELAKA: Seorang lelaki didenda RM23,000 dan dipenjara sehari oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini, selepas mengaku salah atas tuduhan membantu rumah pelacuran dan membenarkan tiga wanita warga asing tanpa permit berada di premisnya, awal tahun lalu.
Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Lau Chee Kiow @ Lau Chee Keong, 53, dan mensabitkannya dengan pertuduhan serta menimbangkan rayuan, fakta kes dan hujah pendakwaan.
Chee Keong disabitkan kesalahan menolong rumah persundalan di No B-15-04, Jalan Melaka Raya 8, Taman Melaka Raya, dekat sini, pada jam 4.45 petang, 13 Januari 2021.
Dia didakwa mengikut Seksyen 373(1)(a) dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didapati membenarkan tiga imigran haram iaitu dua warga Thailand, Kanokon Phuangpanya dan Panwarot Talakanjanawat dan warga Vietnam, Nguyen Thi Ngoc Phuong, berada di premis itu pada tarikh dan masa sama.
Kesalahan dibawah Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/1963 itu memperuntukkan hukuman denda minimum RM5,000 dan maksimum RM30,000 atau dipenjara sehingga setahun atau kedua-duanya bagi setiap pendatang tanpa izin dijumpai di dalam premis, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehari bermula dari tarikh sabitan hari ini dan denda RM8,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda itu bagi pertuduhan pertama.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didenda RM15,000 atau tiga bulan penjara jika gagal menjelaskan denda.
Terdahulu, peguam Melvin Tay merayu supaya tertuduh yang masih bujang dikenakan denda paling ringan atas alasan kini tidak bekerja dan menyara ibu berusia 75 tahun.
Katanya, tertuduh memberikan kerjasama kepada polis bagi siasatan kes itu dan pengakuan salah menjimatkan kos dan masa semua pihak.
Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dikenakan kepada tertuduh selain wang tunai RM1,120 dan barang kes dirampas daripada tertuduh dilucuthakkan kepada kerajaan.