comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bapa tiga anak keluar kata lucah terhadap juruwang didenda RM2,500

Affan Razali didenda RM2,500 atas kesalahan mengaibkan kehormatan seorang juruwang kedai serbaneka pada Ogos lalu. – Foto: NSTP

MELAKA: Seorang lelaki yang mengeluarkan kata-kata lucah terhadap juruwang kedai serbaneka, didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.

Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Affan Razali, 31, selepas menerima pengakuan salah dan mensabitkannya atas kesalahan.

Beliau turut memerintahkan tertuduh, seorang pemotong rumput, dipenjara tambahan tiga bulan jika gagal membayar denda itu serta menasihatinya tidak mengulangi kesalahan.

“Semua orang tidak bersetuju dengan kesalahan kamu lakukan ini, ambil iktibar sampai bila-bila. Kesalahan ini diambil berat oleh mahkamah kerana ia boleh menyumbang kepada jenayah seksual yang lain,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Affan dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan, didapati mengeluarkan kata-kata lucah terhadap seorang remaja perempuan berusia 19 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai serbaneka di Jalan Kejora 2A, Taman Perindustrian, Tanjung Minyak Perdana, di sini, pada 7 Ogos lalu, kira-kira jam 4.14 pagi.

Disebabkan itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, laporan polis dibuat oleh majikan selepas mangsa mengadu dia ketakutan diganggu lelaki tidak dikenali yang mengeluarkan kata-kata lucah mengenai fizikalnya ketika membeli barang di kedai serbaneka berkenaan.

Hasil siasatan dan pemeriksaan terhadap video kamera litar tertutup (CCTV) di premis kedai itu membawa kepada penahanan suspek.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishar yang melakukan pendakwaan memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kepada tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan menanggung isteri tidak bekerja dan tiga anak masih kecil.

Ketika ditanya oleh Majistret, Affan berkata, kesalahan itu dilakukan mungkin kerana dia tergoda melihat tubuh mangsa namun sudah menyesali dan insaf atas perbuatannya.

Loading...
Terkini