SEREMBAN: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan lima sebatan terhadap seorang bapa di sini, hari ini, kerana merogol anak kandungnya yang sebelum ini mendakwa menjadi mangsa nafsu lelaki itu sejak berusia 12 tahun sehingga melahirkan dua orang anak.
Keputusan dibuat Hakim Mohamad Kamil Nizam selepas tertuduh berusia 44 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan persetubuhan dengan anak perempuannya, di mana perhubungan tertuduh dengan mangsa tidak dibenarkan bawah undang-undang dan hukum yang terpakai untuk berkahwin dengannya.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Chuah, Port Dickson, kira-kira jam 6 pagi pada November 2022, boleh dihukum bawah Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan (Akta 574).
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebat.
Mohamad Kamil menegaskan, tertuduh adalah seorang bapa diamanahkan menjaga anak tetapi telah melakukan perbuatan yang sebaliknya.
“Saya mengambil maklum faktor mangsa hanya membuat aduan selepas ibu bapanya ditahan atas kes lain. Semestinya mangsa berasa tidak selamat berada di rumah sendiri sepanjang tempoh terbabit.
“Saya percaya ia akan menyebabkan trauma serta meninggalkan kesan psikologi yang teruk kepada mangsa, dan semestinya reputasi mangsa juga akan terjejas dengan perbuatan tertuduh,” katanya.
Beliau berkata, hukuman yang dijatuhkan perlu setimpal kesalahan dilakukan, selain untuk pengajaran bukan saja kepada tertuduh tetapi juga masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan sama.
Terdahulu, tertuduh yang tiada diwakili peguam, merayu hukumannya diringankan atas alasan mempunyai anak-anak yang masih kecil, manakala isteri menghidap kencing manis dan penyakit jantung.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, M Kalaivaanan, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam.
“Tertuduh adalah ayah kepada mangsa dan telah melakukan persetubuhan dengan merogol anaknya sehingga melahirkan anak.
“Saya menghujahkan hubungan khas pesalah dengan mangsa, mewajibkan mahkamah menjatuhkan hukuman berat dari segi pemenjaraan dan sebat untuk menghantar mesej jelas kepada masyarakat bahawa mahkamah tidak akan bertolak ansur terhadap perbuatan seperti ini,” katanya.
Berdasarkan fakta kes, mangsa membuat laporan polis pada 1 Mei lalu mendakwa bahawa dirinya dirogol bapa kandung sejak berusia 12 tahun hingga 21 April 2024.
Mangsa dilaporkan mengesyaki dirinya mengandung pada Disember 2022 selepas tidak datang haid, sebelum melahirkan anak di Hospital Port Dickson pada 17 Ogos 2023.
Ibu mangsa didakwa menyerahkan anak dilahirkan mangsa itu kepada orang lain tanpa pengetahuannya.
Sementara itu di Mahkamah Sesyen berasingan, tertuduh dan isteri berusia 45 tahun didakwa atas pertuduhan ada dalam milikan mereka dadah berbahaya disyaki jenis pil yaba (dianggarkan seberat 32.83 gram) di sebuah rumah di Chuah, Port Dickson, kira-kira jam 2.30 pagi 28 April lalu.
Pasangan itu dituduh mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, hanya tertuduh lelaki yang mengaku bersalah.
Timbalan Pendakwa Raya, Syamimi Farhana Muhammad A Aziz, tidak mencadangkan jaminan dan mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 4 Julai depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.