comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bapa dua anak dipenjara 60 bulan kerana dadah

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

KUALA TERENGGANU: Seorang tukang rumah yang juga bapa kepada 2 orang anak tidak serik dua kali keluar masuk penjara kerana dadah.

Suhaimi muda, 50 tahun, sekali lagi dihukum penjara 60 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terenggganu atas kesalahan memasukkan dua jenis dadah berbahaya ke dalam badan.

Hakim Nazlyza Mohamad Nazri membuat keputusan itu selepas tertuduh, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dikenakan.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa memasukkan dadah berbahaya jenis amphetamine dan methamphetamine ke dalam badannya.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu pada 8 November 2020 dan 17 Mei 2022.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39C(1)(b) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 39B ADB 1952.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara antara lima sehingga tujuh tahun dan sebat tidak lebih tiga sebatan di bawah Seksyen 39C(1)(b) ADB 1952.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi kedua-dua pertuduhan dan dijalankan serentak bermula tarikh tangkapan iaitu 5 Februari 2024.

Tertuduh turut memiliki dua rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) pada 2019.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Iffah Nabihah Mohd Ishak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini