BATU PAHAT: Pengawal keselamatan direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana disyaki melakukan amang seksual fizikal serta menunjukkan kemaluan terhadap anak perempuannya, Oktober lalu.
Perintah reman ke atas suspek berusia 40 tahun dikeluarkan Majistret Nurasidah A Rahman bermula hari ini sehingga Rabu ini.
Ia membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 14 (a) dan Seksyen 15 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.
Mengikut laporan dibuat isteri suspek, kejadian berlaku pada 10 pagi, 14 Oktober lalu ketika mangsa berusia 14 tahun bersama bapa kandung menaiki sebuah motosikal.
Suspek memberi alasan kononnya mahu mengajar mangsa menunggang motosikal sebelum mengambil kesempatan itu terhadap anak kandungnya.
Bukan sahaja, malah suspek juga bertindak menunjukkan kemaluan terhadap mangsa ketika berada dalam bilik tidurnya.
Namun, perbuatan itu dirahsiakan kerana suspek mengugut mahu membunuh diri jika mangsa memberitahu kepada ahli keluarganya.
Selepas kejadian itu, mangsa menjadi trauma setiap kali melihat suspek di rumah sehingga menceritakan perkara itu kepada ibunya lalu membuat laporan polis.
Bertindak atas laporan dibuat, polis menjalankan siasatan dan menahan suspek di daerah ini, 7.30 malam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.