TAWAU: Seorang bapa tunggal dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah menganiaya anak lelakinya yang berusia tujuh tahun pada Oktober tahun lalu.
Hakim Ahmad Faizadh Yahaya menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Sargalye Salasain, 29, selepas dia membuat pengakuan bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Seorang bapa tunggal dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah menganiaya anak lelakinya yang berusia tujuh tahun pada Oktober tahun lalu. pic.twitter.com/KnD9WEk6tM
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) January 7, 2025
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada 12 Oktober 2024.
Selain itu, tertuduh juga dikehendaki mengemukakan bon berkelakuan baik bernilai RM2,000 dengan seorang penjamin tempatan selama dua tahun serta menjalani program khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh 12 bulan selepas dibebaskan.
Mengikut pertuduhan, lelaki warga Filipina yang memegang dokumen pelarian IMM13 itu didakwa sebagai bapa kepada kanak-kanak tersebut menganiaya mangsa hingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Kejadian berlaku di sebuah rumah di Kampung Sungai Buaya, Batu 3 Jalan Apas, pada jam 10.45 pagi, 12 Oktober 2024.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shearil Aizad Murnizam, manakala tertuduh diwakili peguam, Chen Wen Jye, yang mewakili tertuduh secara probono.
Dalam rayuannya, peguam mempertahankan bahawa tertuduh menyesali perbuatannya dan memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan memandangkan pengakuan bersalah tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah dan mengelakkan perbicaraan panjang.
Peguam turut menambah bahawa tertuduh berniat untuk menghukum anaknya yang mempunyai kulit sensitif dan ekzema, kerana mangsa didapati bermain pasir.
Selain itu, peguam turut merayu agar tertuduh dikecualikan daripada dirujuk ke Jabatan Imigresen kerana dia adalah pemegang dokumen pelarian.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh memarahi mangsa yang bermain guli sebelum memukulnya menggunakan tali pinggang sehingga menyebabkan kecederaan pada badan mangsa.
Kejadian itu disaksikan oleh isteri kepada bapa saudara mangsa, yang sempat merakam video sebelum laporan polis dibuat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.