KUALA LUMPUR: Seorang bapa didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan memukul anak perempuannya yang juga orang kurang upaya (OKU) sehingga cedera, Jumaat lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Muhamad Alfro Wong Abdullah, 65, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.
Mengikut pertuduhan, penganggur itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas anak kandung yang juga OKU berusia 28 tahun dengan memukul mangsa menggunakan sebatang paip polyvinyl chloride (PVC) di bahagian kedua-dua tangan dan kaki, badan, dahi serta kepala sehingga luka, lebam dan bengkak.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Cerdas, Taman Connaught, dekat sini pada jam 12 tengah hari, 6 Disember lalu.
Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang boleh dihukum penjara 10 tahun, denda, atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu manakala Seksyen 326A menyatakan sesiapa menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau benda yang merbahaya berdepan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum atau dengan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip memohon tiada jaminan ditawarkan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.
“Bagaimanapun, jika mahkamah mahu membenarkan jaminan, pendakwaan mencadangkan jaminan RM11,000 dengan seorang penjamin,” katanya.
Namun, Muhamad Alfro Wong memberitahu mahkamah tiada penjamin yang hadir hari ini dan ahli keluarga tidak boleh dihubungi.
Mendengar perkara itu, Siti Shakirah tidak menetapkan sebarang jaminan dan sebutan semula kes pada 15 Januari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.